Sunday, June 17, 2012

IRON ORE - NEWS


TAK LARANG LOMBONG BIJIH BESI




Oleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB nahar.latib@utusan.com.my

KUANTAN 4 Mei - Kerajaan negeri akan mewujudkan garis panduan kepada pelombong berikutan menerima banyak permohonan untuk menjalankan aktiviti perlombongan bijih besi di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk menyiapkan garis panduan tersebut.

"Garis panduan ini diwujudkan berikutan permohonan melombong bijih besi di Pahang kini mencecah 3,000 permohonan sejak 2007.

"Sebelum ini, bijih besi tidak laku tetapi kini ia sangat berharga dan selepas 2007, permintaannya semakin menjadi-jadi. Kita tidak larang untuk orang memohon tetapi perlu ada satu garis panduan," katanya selepas menerima kunjungan Presiden Universiti Yarmouk, Jordan, Prof. Dr. Sutan Abu Orabi di Yayasan Pahang di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.
Adnan berkata, pihaknya tidak boleh memberi kelulusan kepada semua permohonan tersebut kerana ia akan memberi kesan kepada alam sekitar.
Sebelum ini, ujar beliau, tiada syarat khusus untuk memohon melombong bijih besi dan sesiapa sahaja boleh berbuat demikian.

"Hasil daripada perlombongan bijih besi, kerajaan negeri mendapat royalti sebanyak RM4 juta pada tahun lalu manakala pada empat bulan pertama tahun ini sebanyak RM5.5 juta royalti diperoleh.

"Ini jelas menunjukkan sektor perlombongan bijih besi semakin meningkat dan perlu ada satu garis panduan untuk kegiatan itu," jelasnya.